Isnin, Februari 08, 2010

Guru Penolong Kanan Kurikulum


Pn. Hajah Zuraidah Binti Haji Sa'adan merupakan Guru Penolong Kanan Kurikulum di Sek. Keb. Jalan Semenyih 1. Guru yang berdedikasi dan berjiwa kepemimpinan ini dilahirkan pada 14 Disember 1957 di Sg. Jambi, Rengit, Batu Pahat oleh pasangan bahagia Haji Sa'adan Bin Haji Nawawi dan isteri Hajah Tuminah Bt Hj. Sidek.

Hasil asuhan yang baik daripada kedua ibu bapa, beliau berjaya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1974 di Sek. Men. Dato' Bentara Luar, Batu Pahat. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran dalam Sijil Perguruan Malaysia pada tahun 1976-1977 di Maktab Perguruan Teknik, Jalan Cheras, Kuala Lumpur. Selepas setahun menimba ilmu di maktab tersebut, akhirnya beliau berjaya berkhidmat sebagai guru Seni Perusahaan buat julung-julung kalinya di Sek. Men. Tengku Mahmud Iskandar PT Saidi di Senggarang, Batu Pahat. Beliau ditempatkan di sekolah berkenaan hampir 3 tahun bermula 1978-1980.

Perkhidmatan beliau sebagai pendidik tidak berhenti di situ sahaja kerana beliau telah ditempatkan di sekolah yang kedua iaitu Sek. Men. Ren PT Hj. Hassan di Sri Gading, Batu Pahat (1981). Seterusnya beliau diberi tanggungjawab untuk mengajar di SM Jalan Cheras (1982), SM Benut dan SM Rendah Benut (1983-1996), SM Tun Sardun (1997), SM Cheras Perdana (1998-2002), SK Batu 9, Cheras (2003) dan SK Taman Rakan (2003-2009). Antara subjek yang pernah beliau mengajar ialah Seni Perusahaan, B. Melayu, Geografi, Kemahiran Hidup, Matematik dan Kemahiran Hidup.

Dari segi kekeluargaan pula, beliau dianugerahkan 5 orang cahaya mata yang mana anak sulung beliau sudah mencecah usia 30 tahun manakala anak bongsu pula berumur 10 tahun. Beliau mengecapi kehidupan yang bahagia di samping suami tercinta, Haji Amri Bin Rasion yang berkhidmat sebagai anggota polis. Kenangan manis bagi beliau adalah saat-saat bahagia bersama keluarga manakala menjadi ibu tunggal selama 15 tahun merupakan saat yang pahit buat beliau. Selain keluarga, beliau juga sentiasa mendoakan anak-anak murid beliau supaya menjadi seorang yang cemerlang dan berdisiplin untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan juga akhirat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan